Sunday 26 April 2015

SEJARAH NEGERI SELANGOR

PENGENALAN

Negeri Selangor Darul Ehsan terletak di bahagian tengah pantai barat Semenanjung Malaysia dan bersempadan dengan Perak di sebelah utara, Pahang di sebelah timur dan Negeri Sembilan di sebelah selatan.

Terletak di bahagian barat Banjaran Titiwangsa, Selangor dibahagikan kepada sembilan daerah yang terdiri dari Sabak Bernam, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Gombak, Klang, Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Secara  umumnya Selangor diairi oleh empat lembangan sungai utama iaitu lembangan Sungai Langat dan lembangan Sungai Klang di bahagian selatan serta lembangan Sungai Bernam dan lembangan Sungai Selangor (lembangan terbesar di negeri ini) di bahagian utaranya. Sungai-sungai utama ini dilihat sebagai faktor utama kepada bermulanya petempatan awal masyarakat di sekitar kawasan ini.


SEJARAH AWAL

Perkembangan awal Selangor sebagai sebuah kawasan petempatan banyak disumbangkan oleh faktor geografinya, dengan memiliki jaringan sungai yang mampu mengairi sehingga ke kawasan pedalaman. Dengan kelebihan ini, serta kekayaan flora dan faunanya, ia kemudian menyumbang kepada wujudnya penempatan serta hubungan perdagangan dengan dunia luar.

Berdasarkan kajian terutama menerusi penemuan arkeologi, perkembangan awal sejarah dan warisan budaya Selangor boleh dilihat seawal zaman Hoabinhian. Ia kemudiannya terus berkembang pada zaman Neolitik, zaman Logam dan Protosejarah.

Pada tahap ini, perhubungan ekonomi dan budaya masyarakat tempatannya dengan dunia luar semakin berkembang. Ini dibuktikan dengan penemuan beberapa artifak seperti gendang gangsa Dong S’on di Kampung Sungai Lang, Kuala Langat dan Bukit Kuda, Klang serta tiga loceng gangsa di Klang.




GAMBAR SERPIHAN GENDANG GANGSA DONG S'ON

Salah sebuah serpihan gendang gangsa Dong S'on yang ditemui di Selangor. Fungsinya dalam sosio budaya masyarakat awal di rantau ini masih belum dapat dipastikan dan dipercayai dihasilkan dalam Zaman Logam.






GAMBAR LOCENG GANGSA

Loceng gangsa dari Zaman Logam yang ditemui di daerah Klang. Ia dipercayai digunakan sebagai hiasan di leher gajah semasa upacara keagamaan.

Menerusi teks sejarah, nama Selangor pada peringkat awalnya merujuk kepada petempatan di sebuah kuala sungai yang kini dikenali sebagai Kuala Selangor dan bukan sebuah negeri sebagaimana kini. Walau sejarah awalnya masih kabur, namun pengkaji sejarah bersetuju bahawa Selangor memiliki warisan sejarah yang mendahului zaman Kesultanan Melayu Melaka selama lebih seabad.

Ketika kegemilangan Empayar Melaka, kawasan Selangor adalah antara yang termasuk dalam jajahan takluk Melaka sebagaimana tercatatnya nama Klang, Jeram dan Bernam dalam Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang.

Menerusi Sejarah Melayu, tercatat peristiwa kunjungan Tun Jana Khatib dan Tuan jajahan Buguran dan Selangor menemui Paduka Seri Maharaja, pemerintah Singapura pada abad ke-14. Laksamana Cheng Ho turut mencatatkan kedudukan Selangor dan juga Klang di dalam peta pelayarannya. Nama Klang juga disebut dalam puisi Nagara Kertagama hasil tulisan Prapanca, seorang  pujangga kerajaan Majapahit pada tahun 1365. Ini membuktikan bahawa Selangor telah dikenali ketika itu dengan Klang yang berfungsi sebagai pusat perdagangan utamanya.


ASAL USUL NAMA SELANGOR

Walaupun wujud beberapa pendapat mengenai asal usul nama Selangor, namun sejarah membuktikan bahawa ia diambil sempena nama Sungai Selangor yang mengalir ke Selat Melaka menerusi kawasan petempatan yang kini dikenali sebagai Kuala Selangor.



GAMBAR MUARA SUNGAI SELANGOR

Muara Sungai Selangor yang menjadi nadi kepada pertumbuhan petempatan awal di sekitar Kuala Selangor. Peranannya yang cukup penting kepada perkembangan ekonomi, politik dan sosio budaya masyarakat setempat dapat dilihat apabila ia dijadikan sumber dalam menamakan negeri yang kini dikenali sebagai Selangor Darul Ehsan.

 Perkataan Selangor itu sendiri tidak membawa sebarang makna yang jelas dalam bahasa Melayu dan pengkaji beranggapan ia mungkin merupakan singkatan, gabungan atau  perubahan yang berlaku terhadap perkataan asal menerusi peredaran masa.

Menurut satu kisah, satu ketika dahulu kawasan kuala sungai tersebut dipenuhi dengan tumbuhan paya bakau yang dikenali oleh penduduk setempat sebagai mentangau. Pohon mentangau yang banyak terdapat di situ sering kali dijadikan panduan kepada pelayar ke kawasan itu kerana didapati sesuai sebagai tempat persinggahan bagi menambah bekalan menyambung pelayaran. Para pelayar menggelar kawasan ini sebagai ‘kuala mentangau’. Menerusi peredaran masa sebutan ‘kuala mentangau’ berubah menjadi Kuala Selangor, tempat berakhirnya aliran Sungai Selangor.

Kisah yang lain menceritakan bagaimana seorang pendekar yang sedang mengembara telah singgah di sebuah kawasan yang belum pernah dijejaki sebelum ini. Ketika sedang berehat, dirinya rasa cukup terganggu dengan kehadiran seekor langau yang terus-terusan hinggap di hidungnya. Kehadiran langau itu cukup menjengkelkan dirinya yang kemudian cuba untuk membunuh langau tersebut dengan memukulnya tetapi gagal. Terdetik di dalam hati pendekar itu bagaimana seorang yang handal sepertinya tetap gagal menumpaskan seekor langau. Dia kemudian beranggapan bahawa tempat ini memiliki semangat yang lebih hebat dari dirinya lalu mengambil keputusan untuk menamatkan pengembaraannya. Mulai hari itu, setiap kali merujuk kepada tempat tersebut, pendekar itu akan menggelarinya sebagai ‘selangau’ dan akhirnya diterima pakai sebagai nama tempat tersebut.

Satu lagi pendapat mengatakan bahawa terdapat sebuah kawasan di sekitar pantai Kuala Selangor yang pada suatu ketika dijadikan tempat hukuman kepada mereka yang didapati bersalah oleh pemerintah. Para pesalah akan diikat pada palang kayu (juga dikenali sebagai salang) dan kemudian dijemur di bawah terik matahari. Mengikut adat Melayu ketika itu hukuman ini dilakukan di kawasan yang disebut sebagai “di hujung pasir”, yang mana ia menepati ciri-ciri bentuk muka bumi di kawasan pantai Kuala Selangor yang mengunjur ke laut. Hukuman “salang dan di jemur” kemudian diberikan kepada kawasan itu dengan sebutan Salang Ur yang memiliki sebutan yang hampir dengan nama Selangor.


PEMERINTAH AWAL

Sebelum pengasasan Kesultanan Selangor, sudah ada pemerintah yang mentadbir Selangor. Tun Perak, anak kepada Bendahara Melaka, Tun Perpatih Sedang dilantik oleh Sultan Muzaffar Shah Melaka (1446-1459) pada tahun 1446 sebagai Penghulu Klang. Jeram sebagai jajahan takluk Melaka pernah ditadbir oleh Paduka Mamat, putera kepada Sultan Mansur Shah Melaka (1459-1477).

Selepas kejatuhan Empayar Melaka ke tangan Portugis pada 1511, kesetiaan pemerintahan jajahan Selangor beralih kepada Johor yang mana Sultan Mahmud dan pengikut setianya menubuhkan kerajaan dalam buangan di Kepulauan Bintan.
Di zaman pemerintahan Sultan Alauddin Shah, sultan pertama Johor Lama, Kelang telah mempunyai pemerintah yang dikenali dengan gelaran Mandulika. Kemudian Dato’ Engku Kelang, anak Puteri Mayang Selida bersama salah seorang ahli keluarga Bendahara Johor dihantar ke Selangor untuk mentadbir di sini.

Sekitar tahun 1700, Dato’ Engku Kelang  selaku wakil kerajaan Johor, melantik Arung Pasarai yang berketurunan Bugis sebagai pemerintah Selangor dengan gelaran Yamtuan. Arung Pasarai kemudian diganti oleh Raja Siti dan seterusnya digantikan oleh Raja Lumu.


PENGASASAN KESULTANAN SELANGOR


Dengan ketibaan lima orang putera Opu Tendri Borong Daeng Rilekkek bin La Madusalat yang digelar Bugis Lima Bersaudara ke dalam kancah pemerintahan Johor-Riau, ia membawa perubahan drastik terhadap rupa dan perjalanan sosiopolitik Selangor.

Mereka yang terdiri daripada Daeng Parani, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi, mempunyai darah bangsawan serta memiliki kemahiran yang tinggi dalam pelayaran dan taktik peperangan.

Raja Lumu, putera kepada Daeng Chelak tiba di Selangor sekitar 1730-an dan kemudiannya meneruskan pemerintahan Selangor selepas kemangkatan Raja Siti dengan gelaran Tuanku Raja Selangor.

Kedudukan ini walau bagaimanapun tidak memberikan beliau kuasa mutlak terhadap kawasan yang kini dikenali sebagai Selangor, tetapi sekadar sebagai pemerintah di sekitar kawasan sungai Selangor. Malah, kerajaan Johor pada ketika itu masih menganggap Selangor masih di bawah jajahannya.
Pada 1756, sultan Johor ketika itu, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah mengunjungi Melaka bagi menunjukkan penghargaan kepada Belanda yang membantu Sultan Mahmud menewaskan Raja Alam di Siak. Beliau juga menandatangani perjanjian yang memberikan hak kepada Belanda ke atas bijih timah di Selangor (Kuala Selangor), Klang dan Linggi.

Sultan Sulaiman mengutus surat kepada Daeng Kemboja di Linggi, Raja Tua di Klang dan Raja Lumu di Kuala Selangor supaya mereka menerima perjanjian yang telah dibuat dengan Belanda. Ketiga-tiga pemerintah tidak mengiktiraf perjanjian itu.
Berikutan itu, Raja Lumu cuba mendapatkan pengiktirafan dari Kesultanan Perak bagi membebaskan Selangor dari sebarang tuntutan dari kerajaan Johor. Pada 1766, Raja Lumu ditabalkan sebagai Sultan dan Yang Dipertuan Selangor oleh sultan Perak, Sultan Mahmud (atau Raja Kimas) di Kota Lumut dengan gelaran Sultan Salehuddin dan menamakan jajahan takluk pemerintahannya Selangor. Baginda dianugerahkan nobat dan cap mohor oleh Sultan Perak dan bermulalah sejarah baru buat Selangor sebagai sebuah kerajaan berdaulat.


DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SELANGOR


1. Almarhum Sultan Salehuddin Ibni Almarhum Yamtuan Muda  Daeng Chelak, 1766 -1782
2. Almarhum Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Salehuddin, 1782-1826
3. Almarhum Sultan Muhammad Ibni Almarhum Sultan Ibrahim, 1826-1857
4. Almarhum Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Raja Abdullah,1857-1898
5. Almarhum Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa, 1898-1938
6. Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Sir Alaeddin Suleiman     Shah, 1938-1942 dan 1945-1960
7. Almarhum Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Alaeddin Suleiman 
    Shah, 1942-1945
8. Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam     Shah Alhaj, 1960-2001
9. Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, 2001-
    kini




Almarhum DYMM Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Raja Abdullah, Sultan Selangor yang keempat (1557-1898), bergambar bersama kerabat dan orang-orang istana. Di sebelah kanan baginda adalah cucunda kesayangannya, Tengku Suleiman Shah yang kemudian menaiki tahkta sebagai Sultan Selangor yang kelima dengan gelaran Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa (1898-1938).


No comments:

Post a Comment