PENGENALAN
Negeri Selangor Darul Ehsan terletak di bahagian tengah
pantai barat Semenanjung Malaysia dan bersempadan dengan Perak di sebelah
utara, Pahang di sebelah timur dan Negeri Sembilan di sebelah selatan.
Terletak di bahagian barat Banjaran Titiwangsa, Selangor
dibahagikan kepada sembilan daerah yang terdiri dari Sabak Bernam, Hulu
Selangor, Kuala Selangor, Gombak, Klang, Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat
dan Sepang.
Secara umumnya
Selangor diairi oleh empat lembangan sungai utama iaitu lembangan Sungai Langat
dan lembangan Sungai Klang di bahagian selatan serta lembangan Sungai Bernam
dan lembangan Sungai Selangor (lembangan terbesar di negeri ini) di bahagian
utaranya. Sungai-sungai utama ini dilihat sebagai faktor utama kepada
bermulanya petempatan awal masyarakat di sekitar kawasan ini.
SEJARAH AWAL
Perkembangan awal Selangor sebagai sebuah kawasan petempatan
banyak disumbangkan oleh faktor geografinya, dengan memiliki jaringan sungai
yang mampu mengairi sehingga ke kawasan pedalaman. Dengan kelebihan ini, serta
kekayaan flora dan faunanya, ia kemudian menyumbang kepada wujudnya penempatan
serta hubungan perdagangan dengan dunia luar.
Berdasarkan kajian terutama menerusi penemuan arkeologi,
perkembangan awal sejarah dan warisan budaya Selangor boleh dilihat seawal
zaman Hoabinhian. Ia kemudiannya terus berkembang pada zaman Neolitik, zaman
Logam dan Protosejarah.
Pada tahap ini, perhubungan ekonomi dan budaya masyarakat
tempatannya dengan dunia luar semakin berkembang. Ini dibuktikan dengan
penemuan beberapa artifak seperti gendang gangsa Dong S’on di Kampung Sungai
Lang, Kuala Langat dan Bukit Kuda, Klang serta tiga loceng gangsa di Klang.
GAMBAR SERPIHAN GENDANG GANGSA DONG S'ON
Salah sebuah serpihan gendang gangsa Dong S'on yang ditemui
di Selangor. Fungsinya dalam sosio budaya masyarakat awal di rantau ini masih
belum dapat dipastikan dan dipercayai dihasilkan dalam Zaman Logam.
GAMBAR LOCENG GANGSA
Loceng gangsa dari Zaman Logam yang ditemui di daerah Klang.
Ia dipercayai digunakan sebagai hiasan di leher gajah semasa upacara keagamaan.
Menerusi teks sejarah, nama Selangor pada peringkat awalnya
merujuk kepada petempatan di sebuah kuala sungai yang kini dikenali sebagai
Kuala Selangor dan bukan sebuah negeri sebagaimana kini. Walau sejarah awalnya
masih kabur, namun pengkaji sejarah bersetuju bahawa Selangor memiliki warisan
sejarah yang mendahului zaman Kesultanan Melayu Melaka selama lebih seabad.
Ketika kegemilangan Empayar Melaka, kawasan Selangor adalah
antara yang termasuk dalam jajahan takluk Melaka sebagaimana tercatatnya nama
Klang, Jeram dan Bernam dalam Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang.
Menerusi Sejarah Melayu, tercatat peristiwa kunjungan Tun
Jana Khatib dan Tuan jajahan Buguran dan Selangor menemui Paduka Seri Maharaja,
pemerintah Singapura pada abad ke-14. Laksamana Cheng Ho turut mencatatkan
kedudukan Selangor dan juga Klang di dalam peta pelayarannya. Nama Klang juga
disebut dalam puisi Nagara Kertagama hasil tulisan Prapanca, seorang pujangga kerajaan Majapahit pada tahun 1365.
Ini membuktikan bahawa Selangor telah dikenali ketika itu dengan Klang yang
berfungsi sebagai pusat perdagangan utamanya.
ASAL USUL NAMA SELANGOR
Walaupun wujud beberapa pendapat mengenai asal usul nama
Selangor, namun sejarah membuktikan bahawa ia diambil sempena nama Sungai
Selangor yang mengalir ke Selat Melaka menerusi kawasan petempatan yang kini
dikenali sebagai Kuala Selangor.
GAMBAR MUARA SUNGAI SELANGOR
Muara Sungai Selangor yang menjadi nadi kepada pertumbuhan
petempatan awal di sekitar Kuala Selangor. Peranannya yang cukup penting kepada
perkembangan ekonomi, politik dan sosio budaya masyarakat setempat dapat
dilihat apabila ia dijadikan sumber dalam menamakan negeri yang kini dikenali
sebagai Selangor Darul Ehsan.
Perkataan Selangor itu sendiri tidak membawa sebarang makna
yang jelas dalam bahasa Melayu dan pengkaji beranggapan ia mungkin merupakan
singkatan, gabungan atau perubahan yang
berlaku terhadap perkataan asal menerusi peredaran masa.
Menurut satu kisah, satu ketika dahulu kawasan kuala sungai
tersebut dipenuhi dengan tumbuhan paya bakau yang dikenali oleh penduduk
setempat sebagai mentangau. Pohon mentangau yang banyak terdapat di situ sering
kali dijadikan panduan kepada pelayar ke kawasan itu kerana didapati sesuai
sebagai tempat persinggahan bagi menambah bekalan menyambung pelayaran. Para
pelayar menggelar kawasan ini sebagai ‘kuala mentangau’. Menerusi peredaran
masa sebutan ‘kuala mentangau’ berubah menjadi Kuala Selangor, tempat
berakhirnya aliran Sungai Selangor.
Kisah yang lain menceritakan bagaimana seorang pendekar yang
sedang mengembara telah singgah di sebuah kawasan yang belum pernah dijejaki
sebelum ini. Ketika sedang berehat, dirinya rasa cukup terganggu dengan
kehadiran seekor langau yang terus-terusan hinggap di hidungnya. Kehadiran
langau itu cukup menjengkelkan dirinya yang kemudian cuba untuk membunuh langau
tersebut dengan memukulnya tetapi gagal. Terdetik di dalam hati pendekar itu
bagaimana seorang yang handal sepertinya tetap gagal menumpaskan seekor langau.
Dia kemudian beranggapan bahawa tempat ini memiliki semangat yang lebih hebat
dari dirinya lalu mengambil keputusan untuk menamatkan pengembaraannya. Mulai
hari itu, setiap kali merujuk kepada tempat tersebut, pendekar itu akan
menggelarinya sebagai ‘selangau’ dan akhirnya diterima pakai sebagai nama
tempat tersebut.
Satu lagi pendapat mengatakan bahawa terdapat sebuah kawasan
di sekitar pantai Kuala Selangor yang pada suatu ketika dijadikan tempat
hukuman kepada mereka yang didapati bersalah oleh pemerintah. Para pesalah akan
diikat pada palang kayu (juga dikenali sebagai salang) dan kemudian dijemur di
bawah terik matahari. Mengikut adat Melayu ketika itu hukuman ini dilakukan di
kawasan yang disebut sebagai “di hujung pasir”, yang mana ia menepati ciri-ciri
bentuk muka bumi di kawasan pantai Kuala Selangor yang mengunjur ke laut.
Hukuman “salang dan di jemur” kemudian diberikan kepada kawasan itu dengan
sebutan Salang Ur yang memiliki sebutan yang hampir dengan nama Selangor.
PEMERINTAH AWAL
Sebelum pengasasan Kesultanan Selangor, sudah ada pemerintah
yang mentadbir Selangor. Tun Perak, anak kepada Bendahara Melaka, Tun Perpatih
Sedang dilantik oleh Sultan Muzaffar Shah Melaka (1446-1459) pada tahun 1446
sebagai Penghulu Klang. Jeram sebagai jajahan takluk Melaka pernah ditadbir
oleh Paduka Mamat, putera kepada Sultan Mansur Shah Melaka (1459-1477).
Selepas kejatuhan Empayar Melaka ke tangan Portugis pada
1511, kesetiaan pemerintahan jajahan Selangor beralih kepada Johor yang mana
Sultan Mahmud dan pengikut setianya menubuhkan kerajaan dalam buangan di
Kepulauan Bintan.
Di zaman pemerintahan Sultan Alauddin Shah, sultan pertama
Johor Lama, Kelang telah mempunyai pemerintah yang dikenali dengan gelaran
Mandulika. Kemudian Dato’ Engku Kelang, anak Puteri Mayang Selida bersama salah
seorang ahli keluarga Bendahara Johor dihantar ke Selangor untuk mentadbir di
sini.
Sekitar tahun 1700, Dato’ Engku Kelang selaku wakil kerajaan Johor, melantik Arung
Pasarai yang berketurunan Bugis sebagai pemerintah Selangor dengan gelaran
Yamtuan. Arung Pasarai kemudian diganti oleh Raja Siti dan seterusnya
digantikan oleh Raja Lumu.
PENGASASAN KESULTANAN
SELANGOR
Dengan ketibaan lima orang putera Opu Tendri Borong Daeng
Rilekkek bin La Madusalat yang digelar Bugis Lima Bersaudara ke dalam kancah
pemerintahan Johor-Riau, ia membawa perubahan drastik terhadap rupa dan perjalanan
sosiopolitik Selangor.
Mereka yang terdiri daripada Daeng Parani, Daeng Menambun,
Daeng Merewah, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi, mempunyai darah bangsawan serta
memiliki kemahiran yang tinggi dalam pelayaran dan taktik peperangan.
Raja Lumu, putera kepada Daeng Chelak tiba di Selangor
sekitar 1730-an dan kemudiannya meneruskan pemerintahan Selangor selepas
kemangkatan Raja Siti dengan gelaran Tuanku Raja Selangor.
Kedudukan ini walau bagaimanapun tidak memberikan beliau
kuasa mutlak terhadap kawasan yang kini dikenali sebagai Selangor, tetapi
sekadar sebagai pemerintah di sekitar kawasan sungai Selangor. Malah, kerajaan
Johor pada ketika itu masih menganggap Selangor masih di bawah jajahannya.
Pada 1756, sultan Johor ketika itu, Sultan Sulaiman Badrul
Alam Shah mengunjungi Melaka bagi menunjukkan penghargaan kepada Belanda yang
membantu Sultan Mahmud menewaskan Raja Alam di Siak. Beliau juga menandatangani
perjanjian yang memberikan hak kepada Belanda ke atas bijih timah di Selangor
(Kuala Selangor), Klang dan Linggi.
Sultan Sulaiman mengutus surat kepada Daeng Kemboja di
Linggi, Raja Tua di Klang dan Raja Lumu di Kuala Selangor supaya mereka
menerima perjanjian yang telah dibuat dengan Belanda. Ketiga-tiga pemerintah
tidak mengiktiraf perjanjian itu.
Berikutan itu, Raja Lumu cuba mendapatkan pengiktirafan dari
Kesultanan Perak bagi membebaskan Selangor dari sebarang tuntutan dari kerajaan
Johor. Pada 1766, Raja Lumu ditabalkan sebagai Sultan dan Yang Dipertuan
Selangor oleh sultan Perak, Sultan Mahmud (atau Raja Kimas) di Kota Lumut
dengan gelaran Sultan Salehuddin dan menamakan jajahan takluk pemerintahannya
Selangor. Baginda dianugerahkan nobat dan cap mohor oleh Sultan Perak dan
bermulalah sejarah baru buat Selangor sebagai sebuah kerajaan berdaulat.
DULI YANG MAHA MULIA
SULTAN SELANGOR
1. Almarhum Sultan Salehuddin Ibni Almarhum Yamtuan
Muda Daeng Chelak, 1766 -1782
2. Almarhum Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Salehuddin,
1782-1826
3. Almarhum Sultan Muhammad Ibni Almarhum Sultan Ibrahim, 1826-1857
4. Almarhum Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Raja
Abdullah,1857-1898
5. Almarhum Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah Ibni Almarhum
Raja Muda Musa, 1898-1938
6. Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj Ibni
Almarhum Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah, 1938-1942 dan 1945-1960
7. Almarhum Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah Ibni Almarhum
Sultan Sir Alaeddin Suleiman
Shah, 1942-1945
8. Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Ibni
Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj, 1960-2001
9. Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan
Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, 2001-
kini
Almarhum DYMM Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Raja
Abdullah, Sultan Selangor yang keempat (1557-1898), bergambar bersama kerabat
dan orang-orang istana. Di sebelah kanan baginda adalah cucunda kesayangannya,
Tengku Suleiman Shah yang kemudian menaiki tahkta sebagai Sultan Selangor yang
kelima dengan gelaran Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda
Musa (1898-1938).