Wednesday 29 April 2015

TEMPAT-TEMPAT MENARIK DI HULU LANGAT


SUNGAI CONGKAK


Di Sungai Congkak telah terbukti dengan keindahan alam dan air yang bersih. Tidak menghairankan kerana ia merupakan sebahagian daripada Hutan Simpan Hulu Langat yang telah dibuka kepada orang ramai sejak tahun 1982.

Oleh itu ia menjadi tempat yang sesuai untuk bersiar-siar bersama keluarga. Jika anda sedang mencari tempat percutian hujung minggu yang cepat, ini ialah tempatnya. Sebagai hutan hujan, anda dapat menikmati alam semula jadi yang terbaik. Di sungai congkak juga turut menyediakan tempat penginapan seperti chalet untuk orang ramai, tapak-tapak khemah juga turut disediakan bagi yang gemar untuk bermalam dengan khemah yang dibawa sendiri, taman permainan, pondok rehat dan juga dewan terbuka. Di sini juga terdapat gerai menjual makanan dan minuman, hasil hutan dan barangan yang anda perlu. Antara aktiviti yang anda boleh dijalankan di Sungai Congkak ialah BBQ, berbasikal, berenang, meredah hutan, berjalan kaki dan mendaki bukit. Kesemua aktiviti ini boleh dijalankan dengan bantuan panduan alam semula jadi. Jika anda tertanya-tanya berapa banyak anda akan perlu membayar untuk masuk ke dalam hutan rekreasi, anda akan terkejut mendengar bahawa anda hanya perlu membayar hanya RM1.


AIR TERJUN SUNGAI GABAI



Air terjun Sungai Gabai terletak di Kampung Sungai Lui, mukim Hulu Langat. Air terjun Sungai Gabai ini tidaklah begitu popular berbanding dengan air terjun Sungai Congkak atau air terjun Sungai Tekala.
Sebenarnya air terjun Sungai Gabai ada 12 tingkat dengan 336 anak tangga hingga ke tingkat paling atas. Kawasan perkelahan agak sempit dan berbatu-batu besar.


Setiap pengunjung dikenakan bayaran RM2.00 untuk sebuah kereta dan RM1.00 untuk sebuah motosikal. Sekeping resit diberikan.

Ada banyak pondok rehat yang dibina oleh Majlis Daerah Hulu Langat pada tahun 2000. Ada kira-kira 10 buah pondok rehat yang pelbagai saiz dan bentuk. Ada juga surau, bilik persalinan dan tandas awam. Sungai Gabai mengalir dari Gunung Besar Hantu (1462 m) yang terletak di Negeri Sembilan. Air Sungai Congkak mengalir dari Gunung Nuang (1493 m) yang merupakan gunung yang tertinggi di negeri Selangor.


KOLAM AIR PANAS BATU 16 DUSUN TUA




Kolam air panas ini terletak berhadapan dengan IKBN Dusun Tua. Kawasan yang agak terhad dengan terdapat cuma satu kolam air panas yang agak kecil. Kolam ini tidak memungkinkan sesiapa pun mandi kerana tempat yang terbuka dan terletak bersebelahan jalan utama.

Malahan, kolam ini mempunyai tahap kepanasan air yang lebih tinggi. Pengunjung cuma dapat mencelup tangan dan merendam kaki ke dalam kolam. Amat sesuai untuk destinasi persinggahan jika pergi berkelah di Hulu Langat ini.


KOLAM AIR PANAS SUNGAI SERAI




Dari kolam air panas Dusun Tua, kini kita beralih pula ke kolam Air Panas Sungai Serai pula. Terletak di Kampung Sungai Serai, Mukim Hulu Langat. Di sini terdapat banyak kolam air panas memandang struktur tanah banyak mempunyai belerang. Ramai pengunjung luar yang datang ke kolam ini. Kolam air panas ini tidak berapa jauh dari Kuala Lumpur. jarak perjalanan dari Kuala Lumpur ke kolam ini anggaran masa selama 30 minit sahaja. Kolam ini terletak di Batu 11, Hulu Langat berhampiran dengan masjid yang bernama Masjid Ehsan.

Kolam ini dibuka dari pukul 8 pagi hingga pukul 10 malam sahaja. Jika anda hendak berendam dalam kolam air panas ini disaranakan anda datang pada waktu malam kerana lebih selesa untuk berendam.


Di Kolam ini tiada sebarang kemudahan disediakan seperti tempat salin pakaian, tandas, atau pun gerai makan. Di sini hanya disediakan parking kereta sahaja yang dikenakan bayaran sebanyak RM1.00, dan bayaran untuk masuk ke kolam ini juga hanyalah semurah RM1.00 sahaja.








KUIH TRADISIONAL HULU LANGAT


BAHULU CLASSIQ



Kuih bahulu ialah kuih tradisional yang menjadi kepastian dalam hidangan sempena hari raya. Kaedah penyediaan yang rumit menjadikan ia bukan sembarang orang boleh menyediakannya.
Bahulu Classiq merupakan bahulu yang kekal dengan keunikan aslinya tetapi disediakan dengan cita rasa terkini yang kontemporari. Ianya menjadi kuih tradisi yang diminati generasi muda kerana diadun sesuai dengan citarasa mereka.

Bahulu pandan classiq™ mempunyai rasa yang enak serasi dengan selera anak anda kerana disulam rasa dengan beberas coklat di samping keharuman hijau pandan.
Bahulu cappucino classiq™ penuh rasa kelainan kerana aroma kopi dan rasa yang berbeza dan menjadi kepuasan peminatnya.

Bahulu asli classiq™ yang kekal dengan keasliannya, namun begitu ianya sebenarnya berbeza hingga menjadikannya hidangan yang sentiasa dicari oleh setiap keluarga.


KUIH BAKAR


Keunikan kuih bakar classiq™ adalah cita rasanya yang asli dengan keharuman asli daun pandan tanpa pengawet. Diadun dengan santan kelapa terpilih menjadikan rasanya yang penuh kelainan.
Disediakan dengan penuh teliti dalam suasana penyediaan makanan yang suci dan bersih, mengikut kaedah yang diiktiraf dan selari dengan piawai GMP ( good manufacturing process ) menjadikan kualiti dan rasa yang memberi nilai kepada pembelian anda.


Kuih Bakar juga dikenali sebagai Bahulu Kemboja atau kuih bombay. Sesuai untuk dihidangkan kepada tamu atau juadah jamuan dalam pelbagai majlis atau acara.


KUIH JONGKONG




Kuih Jongkong adalah kuih yang cukup popular di Hulu Langat. Kuih tradisional yang tidak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas....

Kebiasaannya ianya di bungkus di dalam daun pisang. Cara membungkusnya pula lebih kurang sama dengan cara membungkus tapai.


Kalau di Pontian, selalunya dan kebiasaannya mereka menjual kuih jongkong ini sebagai pemanis mulut di waktu pagi atau juga sebagai hidangan untuk minum petang. Kebiasaannya juga kuih ini berwarna putih dan terdapat gula Melaka yang mencair di tengahnya. Rasanya memang cukup manis dan enak dimakan.

Monday 27 April 2015

SEJARAH HULU LANGAT


HULU LANGAT

Daerah Hulu Langat merupakan salah satu daripada sembilan daerah yang terdapat di negeri Selangor, Malaysia. Ia merupakan daerah ke-5 terbesar di Negeri Selangor. Daerah ini terletak di dalam kawasan Lembah Klang dan bersempadan dengan:
    Ø  Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Daerah Gombak di sebelah barat laut;
    Ø  Daerah Petaling di sebelah barat;
    Ø  Daerah Sepang di sebelah barat daya;
    Ø  Negeri Pahang di sebelah timur laut;
    Ø  Negeri Sembilan di sebelah selatan dan timur.

SEJARAH

Hulu Langat pada masa dahulu dikenali sebagai nama 'langat' yang kemudiannya ditambahkan perkataan "hulu" atau "ulu" kerana terletak di bahagian pedalaman negeri Selangor, lalu menjadi Hulu langat. Daerah ini kemungkinan besar terletak dalam jajahan Negeri Sembilan sehinggalah berlaku persepakatan yang membawa kepada penyerahan daerah Lukut kepada Negeri Sembilan, dan kemudiannya membawa daerah ini masuk ke dalam wilayah Selangor.

PENDUDUK

Penduduk asal daerah ini adalah terdiri daripada orang Melayu yang kebanyakan adalah orang Minangkabau di samping kehadiran suku etnik Melayu lain iaitu suku Jawa, Jambi, Mendailing dan lain-lain. Buktinya kini dapat dilihat berdasarkan pertuturan masyarakat tempatan yang cenderung menggunakan bahasa loghat tersebut.

Aktiviti ekonomi utama pada waktu ini adalah pertanian. Semasa zaman penemuan bijih timah di kawasan ini terutama di kawasan Cheras, Ampang dan kawasan sekitarnya terutama Kuala Lumpur, wujud perpindahan etnik yang ketara di kawasan ini. Suku Kerinchi (Jambi) tiba dengan ramainya untuk membuat kerja-kerja mengangkut hasil bijih ke Mantin atau Seremban melalui Sungai Ujong untuk dieksport ke Kuala Sungai Langat & Kuala Sungai Klang. Laluan Sungai Klang dan Sungai Langat dianggap tidak selamat akibat berleluasanya aktiviti pelanunan.

Terdapat tentera laut orang-orang Melayu yang serba kekurangan akan merompak kapal-kapal dagang untuk membiayai operasi ketenteraan pemimpin mereka, akibat daripada perang saudara di Kelang antara Raja Mahadi (Waris yang sepatutnya mentadbir mukim Kelang) & Tengku Kudin (kerabat Raja Kedah, yang terkenal sebagai dalang yang bertanggungjawab secara langsung membawa kemasukan Residen British dan kongsi gelap Cina ke Selangor).

Kebanjiran buruh asing warga Cina membawa bersama pakatan kongsi-kongsi gelap mereka menyemarakkan lagi perang saudara di kawasan ini terutama di zaman kapitan Yap Ah Loy.

DAERAH HULU LANGAT

Keindahan Daerah Hulu Langat dicerna oleh ungkapan "kampung di tengah bandar besar". Ini kerana suasana tradisi dan keindahan kampung masih tetap wujud di sini meskipun dihimpit oleh pembangunan yang agak pesat dari Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur terletak terlalu hampir, selain Wilayah Persekutuan Putrajaya juga terletak terlalu dekat di bahagian selatan Hulu Langat. Daerah ini mempunyai 7 buah Mukim yang diwartakan di bawah Kanun Tanah Negara iaitu:
    Ø  Mukim Ampang
    Ø  Mukim Beranang
    Ø  Mukim Cheras
    Ø  Mukim Ulu Langat
    Ø  Mukim Ulu Semenyih
    Ø  Mukim Semenyih
    Ø  Mukim Kajang.

Bilangan kampung: 72 buah Penduduk Daerah Hulu Langat telah bertambah dengan pesatnya dari setahun ke setahun :- 1980 : 188,370 orang 1990 : 413,900 orang 2010 : 1,156,600 orang

BILANGAN PENDUDUK MENGIKUT KAUM

    ü  Melayu : 586,700 orang
    ü  Cina : 355,800 orang
    ü  India : 113,800 orang
    ü  Lain-lain : 11,500 orang
 ü   Bukan warganegara : 88,800 orang


BANDAR DAN PEKAN

  • Bandar Cheras
  • Bandar Ulu Langat
  • Bandar Kajang
  • Bandar Semenyih
  • Bandar Ampang
  • Bandar Country Height
  • Bandar Balakong
  • Bandar Baru Bangi
  • Pekan Batu 9, Cheras
  • Pekan Batu 18, Semenyih
  • Bandar Batu 26, Beranang
  • Pekan Beranang
  • Pekan Kacau
  • Pekan Tarun
  • Pekan Bangi Lama
  • Pekan Batu 18, Ulu Langat
  • Pekan Batu 23, Sungai Lalang
  • Pekan Batu 26, Beranang
  • Pekan Bukit Sungai Raya
  • Pekan Cheras
  • Pekan Desa Raya
  • Pekan Dusun Tua Ulu Langat
  • Pekan Kampong Pasir, Batu 14, Semenyih
  • Pekan Kampong Sungai Tangkas
  • Pekan Rumah Murah Sungai Lui
  • Pekan Semenyih
  • Pekan Simpang Balak
  • Pekan Sri Nanding
  • Pekan Sungai Kembong Beranang
  • Pekan Sungai Lui
  • Pekan Sungai Makau


Sunday 26 April 2015

SEJARAH NEGERI SELANGOR

PENGENALAN

Negeri Selangor Darul Ehsan terletak di bahagian tengah pantai barat Semenanjung Malaysia dan bersempadan dengan Perak di sebelah utara, Pahang di sebelah timur dan Negeri Sembilan di sebelah selatan.

Terletak di bahagian barat Banjaran Titiwangsa, Selangor dibahagikan kepada sembilan daerah yang terdiri dari Sabak Bernam, Hulu Selangor, Kuala Selangor, Gombak, Klang, Petaling, Hulu Langat, Kuala Langat dan Sepang.

Secara  umumnya Selangor diairi oleh empat lembangan sungai utama iaitu lembangan Sungai Langat dan lembangan Sungai Klang di bahagian selatan serta lembangan Sungai Bernam dan lembangan Sungai Selangor (lembangan terbesar di negeri ini) di bahagian utaranya. Sungai-sungai utama ini dilihat sebagai faktor utama kepada bermulanya petempatan awal masyarakat di sekitar kawasan ini.


SEJARAH AWAL

Perkembangan awal Selangor sebagai sebuah kawasan petempatan banyak disumbangkan oleh faktor geografinya, dengan memiliki jaringan sungai yang mampu mengairi sehingga ke kawasan pedalaman. Dengan kelebihan ini, serta kekayaan flora dan faunanya, ia kemudian menyumbang kepada wujudnya penempatan serta hubungan perdagangan dengan dunia luar.

Berdasarkan kajian terutama menerusi penemuan arkeologi, perkembangan awal sejarah dan warisan budaya Selangor boleh dilihat seawal zaman Hoabinhian. Ia kemudiannya terus berkembang pada zaman Neolitik, zaman Logam dan Protosejarah.

Pada tahap ini, perhubungan ekonomi dan budaya masyarakat tempatannya dengan dunia luar semakin berkembang. Ini dibuktikan dengan penemuan beberapa artifak seperti gendang gangsa Dong S’on di Kampung Sungai Lang, Kuala Langat dan Bukit Kuda, Klang serta tiga loceng gangsa di Klang.




GAMBAR SERPIHAN GENDANG GANGSA DONG S'ON

Salah sebuah serpihan gendang gangsa Dong S'on yang ditemui di Selangor. Fungsinya dalam sosio budaya masyarakat awal di rantau ini masih belum dapat dipastikan dan dipercayai dihasilkan dalam Zaman Logam.






GAMBAR LOCENG GANGSA

Loceng gangsa dari Zaman Logam yang ditemui di daerah Klang. Ia dipercayai digunakan sebagai hiasan di leher gajah semasa upacara keagamaan.

Menerusi teks sejarah, nama Selangor pada peringkat awalnya merujuk kepada petempatan di sebuah kuala sungai yang kini dikenali sebagai Kuala Selangor dan bukan sebuah negeri sebagaimana kini. Walau sejarah awalnya masih kabur, namun pengkaji sejarah bersetuju bahawa Selangor memiliki warisan sejarah yang mendahului zaman Kesultanan Melayu Melaka selama lebih seabad.

Ketika kegemilangan Empayar Melaka, kawasan Selangor adalah antara yang termasuk dalam jajahan takluk Melaka sebagaimana tercatatnya nama Klang, Jeram dan Bernam dalam Sejarah Melayu oleh Tun Sri Lanang.

Menerusi Sejarah Melayu, tercatat peristiwa kunjungan Tun Jana Khatib dan Tuan jajahan Buguran dan Selangor menemui Paduka Seri Maharaja, pemerintah Singapura pada abad ke-14. Laksamana Cheng Ho turut mencatatkan kedudukan Selangor dan juga Klang di dalam peta pelayarannya. Nama Klang juga disebut dalam puisi Nagara Kertagama hasil tulisan Prapanca, seorang  pujangga kerajaan Majapahit pada tahun 1365. Ini membuktikan bahawa Selangor telah dikenali ketika itu dengan Klang yang berfungsi sebagai pusat perdagangan utamanya.


ASAL USUL NAMA SELANGOR

Walaupun wujud beberapa pendapat mengenai asal usul nama Selangor, namun sejarah membuktikan bahawa ia diambil sempena nama Sungai Selangor yang mengalir ke Selat Melaka menerusi kawasan petempatan yang kini dikenali sebagai Kuala Selangor.



GAMBAR MUARA SUNGAI SELANGOR

Muara Sungai Selangor yang menjadi nadi kepada pertumbuhan petempatan awal di sekitar Kuala Selangor. Peranannya yang cukup penting kepada perkembangan ekonomi, politik dan sosio budaya masyarakat setempat dapat dilihat apabila ia dijadikan sumber dalam menamakan negeri yang kini dikenali sebagai Selangor Darul Ehsan.

 Perkataan Selangor itu sendiri tidak membawa sebarang makna yang jelas dalam bahasa Melayu dan pengkaji beranggapan ia mungkin merupakan singkatan, gabungan atau  perubahan yang berlaku terhadap perkataan asal menerusi peredaran masa.

Menurut satu kisah, satu ketika dahulu kawasan kuala sungai tersebut dipenuhi dengan tumbuhan paya bakau yang dikenali oleh penduduk setempat sebagai mentangau. Pohon mentangau yang banyak terdapat di situ sering kali dijadikan panduan kepada pelayar ke kawasan itu kerana didapati sesuai sebagai tempat persinggahan bagi menambah bekalan menyambung pelayaran. Para pelayar menggelar kawasan ini sebagai ‘kuala mentangau’. Menerusi peredaran masa sebutan ‘kuala mentangau’ berubah menjadi Kuala Selangor, tempat berakhirnya aliran Sungai Selangor.

Kisah yang lain menceritakan bagaimana seorang pendekar yang sedang mengembara telah singgah di sebuah kawasan yang belum pernah dijejaki sebelum ini. Ketika sedang berehat, dirinya rasa cukup terganggu dengan kehadiran seekor langau yang terus-terusan hinggap di hidungnya. Kehadiran langau itu cukup menjengkelkan dirinya yang kemudian cuba untuk membunuh langau tersebut dengan memukulnya tetapi gagal. Terdetik di dalam hati pendekar itu bagaimana seorang yang handal sepertinya tetap gagal menumpaskan seekor langau. Dia kemudian beranggapan bahawa tempat ini memiliki semangat yang lebih hebat dari dirinya lalu mengambil keputusan untuk menamatkan pengembaraannya. Mulai hari itu, setiap kali merujuk kepada tempat tersebut, pendekar itu akan menggelarinya sebagai ‘selangau’ dan akhirnya diterima pakai sebagai nama tempat tersebut.

Satu lagi pendapat mengatakan bahawa terdapat sebuah kawasan di sekitar pantai Kuala Selangor yang pada suatu ketika dijadikan tempat hukuman kepada mereka yang didapati bersalah oleh pemerintah. Para pesalah akan diikat pada palang kayu (juga dikenali sebagai salang) dan kemudian dijemur di bawah terik matahari. Mengikut adat Melayu ketika itu hukuman ini dilakukan di kawasan yang disebut sebagai “di hujung pasir”, yang mana ia menepati ciri-ciri bentuk muka bumi di kawasan pantai Kuala Selangor yang mengunjur ke laut. Hukuman “salang dan di jemur” kemudian diberikan kepada kawasan itu dengan sebutan Salang Ur yang memiliki sebutan yang hampir dengan nama Selangor.


PEMERINTAH AWAL

Sebelum pengasasan Kesultanan Selangor, sudah ada pemerintah yang mentadbir Selangor. Tun Perak, anak kepada Bendahara Melaka, Tun Perpatih Sedang dilantik oleh Sultan Muzaffar Shah Melaka (1446-1459) pada tahun 1446 sebagai Penghulu Klang. Jeram sebagai jajahan takluk Melaka pernah ditadbir oleh Paduka Mamat, putera kepada Sultan Mansur Shah Melaka (1459-1477).

Selepas kejatuhan Empayar Melaka ke tangan Portugis pada 1511, kesetiaan pemerintahan jajahan Selangor beralih kepada Johor yang mana Sultan Mahmud dan pengikut setianya menubuhkan kerajaan dalam buangan di Kepulauan Bintan.
Di zaman pemerintahan Sultan Alauddin Shah, sultan pertama Johor Lama, Kelang telah mempunyai pemerintah yang dikenali dengan gelaran Mandulika. Kemudian Dato’ Engku Kelang, anak Puteri Mayang Selida bersama salah seorang ahli keluarga Bendahara Johor dihantar ke Selangor untuk mentadbir di sini.

Sekitar tahun 1700, Dato’ Engku Kelang  selaku wakil kerajaan Johor, melantik Arung Pasarai yang berketurunan Bugis sebagai pemerintah Selangor dengan gelaran Yamtuan. Arung Pasarai kemudian diganti oleh Raja Siti dan seterusnya digantikan oleh Raja Lumu.


PENGASASAN KESULTANAN SELANGOR


Dengan ketibaan lima orang putera Opu Tendri Borong Daeng Rilekkek bin La Madusalat yang digelar Bugis Lima Bersaudara ke dalam kancah pemerintahan Johor-Riau, ia membawa perubahan drastik terhadap rupa dan perjalanan sosiopolitik Selangor.

Mereka yang terdiri daripada Daeng Parani, Daeng Menambun, Daeng Merewah, Daeng Chelak dan Daeng Kemasi, mempunyai darah bangsawan serta memiliki kemahiran yang tinggi dalam pelayaran dan taktik peperangan.

Raja Lumu, putera kepada Daeng Chelak tiba di Selangor sekitar 1730-an dan kemudiannya meneruskan pemerintahan Selangor selepas kemangkatan Raja Siti dengan gelaran Tuanku Raja Selangor.

Kedudukan ini walau bagaimanapun tidak memberikan beliau kuasa mutlak terhadap kawasan yang kini dikenali sebagai Selangor, tetapi sekadar sebagai pemerintah di sekitar kawasan sungai Selangor. Malah, kerajaan Johor pada ketika itu masih menganggap Selangor masih di bawah jajahannya.
Pada 1756, sultan Johor ketika itu, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah mengunjungi Melaka bagi menunjukkan penghargaan kepada Belanda yang membantu Sultan Mahmud menewaskan Raja Alam di Siak. Beliau juga menandatangani perjanjian yang memberikan hak kepada Belanda ke atas bijih timah di Selangor (Kuala Selangor), Klang dan Linggi.

Sultan Sulaiman mengutus surat kepada Daeng Kemboja di Linggi, Raja Tua di Klang dan Raja Lumu di Kuala Selangor supaya mereka menerima perjanjian yang telah dibuat dengan Belanda. Ketiga-tiga pemerintah tidak mengiktiraf perjanjian itu.
Berikutan itu, Raja Lumu cuba mendapatkan pengiktirafan dari Kesultanan Perak bagi membebaskan Selangor dari sebarang tuntutan dari kerajaan Johor. Pada 1766, Raja Lumu ditabalkan sebagai Sultan dan Yang Dipertuan Selangor oleh sultan Perak, Sultan Mahmud (atau Raja Kimas) di Kota Lumut dengan gelaran Sultan Salehuddin dan menamakan jajahan takluk pemerintahannya Selangor. Baginda dianugerahkan nobat dan cap mohor oleh Sultan Perak dan bermulalah sejarah baru buat Selangor sebagai sebuah kerajaan berdaulat.


DULI YANG MAHA MULIA SULTAN SELANGOR


1. Almarhum Sultan Salehuddin Ibni Almarhum Yamtuan Muda  Daeng Chelak, 1766 -1782
2. Almarhum Sultan Ibrahim Ibni Almarhum Sultan Salehuddin, 1782-1826
3. Almarhum Sultan Muhammad Ibni Almarhum Sultan Ibrahim, 1826-1857
4. Almarhum Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Raja Abdullah,1857-1898
5. Almarhum Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa, 1898-1938
6. Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Sir Alaeddin Suleiman     Shah, 1938-1942 dan 1945-1960
7. Almarhum Sultan Musa Ghiatuddin Riayat Shah Ibni Almarhum Sultan Sir Alaeddin Suleiman 
    Shah, 1942-1945
8. Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj Ibni Almarhum Sultan Sir Hisamuddin Alam     Shah Alhaj, 1960-2001
9. Sultan Sharafuddin Idris Shah Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj, 2001-
    kini




Almarhum DYMM Sultan Abdul Samad Ibni Almarhum Raja Abdullah, Sultan Selangor yang keempat (1557-1898), bergambar bersama kerabat dan orang-orang istana. Di sebelah kanan baginda adalah cucunda kesayangannya, Tengku Suleiman Shah yang kemudian menaiki tahkta sebagai Sultan Selangor yang kelima dengan gelaran Sultan Sir Alaeddin Suleiman Shah Ibni Almarhum Raja Muda Musa (1898-1938).


Saturday 25 April 2015

PROFILE

Assalamualaikum...
Nama: Abdul Halim bin Abdul Latip
No. Matrik: J44611
Pelajar BCOMM semester 6

Tujuan blog ini diwujudkan ialah untuk menyempurnakan tugasan 2 KOJ3462 iaitu Penerbitan Elektronik. Di dalam blog ini saya memuatkan bahan rujukan tentang asal-usul negeri selangor, asal-usul Hulu Langat, tempat-tempat yang menarik yang terdapat di Hulu Langat dan juga kuih tradisional yang digemari oleh masyarakat setempat di Hulu Langat. Di harap pada masa akan datang blog ini akan membantu masyarakat di luar sana untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang keistimewaan Hulu Langat ini.